MASYARAKAT YANG BERBILANG KAUM

MPU23012 PENGAJIAN ISLAM

TUGASAN BERASASKAN MASALAH

KUMPULAN 4


Pendahuluan tentang masyarakat yang berbilang kaum


    Secara umumnya, negara Malaysia merupakan sebuah negara yang masyhur dan unik kerana memiliki komposisi masyarakat yang berbilang kaum yang terdiri daripada kepelbagaian budaya dan bangsa. Kepelbagaian ini merupakan satu keunikan yang akhirnya membentuk masyarakat yang hidup bersatu padu dan harmoni. Namun ia juga menjadi cabaran kepada negara khususnya dalam mengurus kemajmukan sosial. Cabaran itu wujud terutama dalam aspek membentuk keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara kaum, agama serta budaya, sekali gus memerlukan pendekatan berhemah serta penuh rasa hormat. Hubungan harmoni yang terjalin sesama kaum ini juga akan memperkukuhkan lagi kemakmuran dan perpaduan negara. Perpecahan dan salah faham amat mudah terjadi jika isu perpaduan dan penyatuan tidak ditekankan.


    Sejarah juga telah membuktikan bahawa Malaysia dapat mengatasi sebarang cabaran apabila rakyatnya bersatu. Setiap rakyat Malaysia perlu menghayati konsep perpaduan dengan setiap orang menerima keunikan orang lain supaya kita dapat hidup bersama dalam saling menghormati dan percaya. Ini merupakan kunci kepada negara yang aman dan makmur. Rakyat Malaysia yang berbeza etnik, agama dan warna kulit melengkapi antara satu sama lain dan kepelbagaian ini tidak boleh menjadi halangan untuk menjalani kehidupan yang bersatu dan harmoni. Kepelbagaian ini ialah kekuatan dan resepi kejayaan dalam mencapai kemajuan dan peningkatan sosioekonomi.


Kepentingan memupuk kemakmuran dalam masyarakat majmuk



    Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan kemakmuran kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara yang maju. Oleh itu, terdapat banyak kepentingan yang dapat diperoleh jika kita dapat memupuk kemakmuran dalam masyarakat majmuk.


    Masyarakat yang aman makmur dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara satu sama lain tanpa wujud tanpa prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik antara kaum. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sudah hidup bersatu padu saling memerlukan, saling bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain. Keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan banyak menyumbang ke arah kemakmuran masyarakat majmuk. Sebagai buktinya, di Malaysia telah wujud Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda, tetapi pada masa yang sama bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan harmoni kerana perasaan prejudis kepada kaum lain tidak wujud. Jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika kemakmuran dalam masyarakat dapat dikukuhkan.


    Selain itu, ramai pelancong luar negara berkunjung ke Malaysia kerana tertarik dengan budaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Banyak keunikan cara hidup masyarakat pelbagai kaum dapat ditonjolkan seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat, kesenian dan sebagainya kepada pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum. Jadi, kemakmuran kaum yang kukuh di negara kita mampu menarik pelancong asing datang ke sini.  


    Di samping itu, kemakmuran masyarakat juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan ekonomi negara. Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama pelabur asing berani menanam modal di sesebuah negara adalah kerana kestabilan politik negara ekoran daripada masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang perbalahan dan perancangan kerajaan yang mesra pelabur. Hal ini kerana, mereka tidak mahu modal yang dilaburkan di sesebuah negara akan rugi akibat pergolakan yang berlaku di sesebuah negara. Malaysia bertuah kerana menjadi destinasi pelabur asing dari Amerika, Eropah, Jepun, Cina dan India. Sudah tentu modal yang dilaburkan mampu menjana pendapatan kepada negara sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Oleh hal yang demikian, sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan ekonomi negara.


   Seterusnya, memupuk kemakmuran dalam masyarakat majmuk juga mampu meningkatkan imej negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara pada masa kini sudah berada di peta masyarakat antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang berterusan membina negara yang disegani di peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah menjadikan negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali di pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara ini. Sebagai buktinya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan bahawa pengiktirafan sedemikian adalah kerana nilai murni yang terdapat pada masyarakat Malaysia.


    Tambahan pula, sambutan pelbagai hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas Hari Gawai dan Kaamatan boleh mengenali budaya dan adat resam sesama masyarakat sambil memperbaharui ikatan persahabatan. Keharmonian demi kesatuan ini juga merupakan keunikan yang bukan sahaja memperteguhkan lagi perpaduan antara kaum, malah menjadi penanda aras bagi Malaysia dalam mencapai matlamat sebagai negara yang aman. Misalnya, rumah terbuka bagi setiap satu perayaan diadakan untuk meraikan kemakmuran masyarakat yang memupuk amalan ziarah-menziarahi, saling menolong dan semangat kejiranan sebagai budaya harian kita.


    Kesimpulannya, kemakmuran merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa seperti warga tua dan kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, kekalkanlah kemakmuran yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan negara untuk menjadi negara maju dapat direalisasikan.


Cara memupuk kemakmuran dalam masyarakat majmuk


• Penerapan nilai-nilai budaya dan warisan dalam aktiviti harian

Masyarakat boleh mengaplikasikan dan berkongsi budaya kaum mereka sendiri dengan kaum lain daripada aspek seperti peradaban, pemakanan, pemakaian. Sebagai contoh yang kita boleh lihat telah pun dijalankan oleh masyarakat Malaysia antaranya adalah seperti, memperkenalkan adab-adab orang Melayu kepada kaum Cina dan India atau sebaliknya di antara kaum-kaum tersebut iaitu dengan lebih jelas melalui perkongsian peradaban di sambutan hari perayaan kaum masing-masing. Seterusnya, makanan India seperti tosei dan roti canai juga semakin diminati oleh kaum-kaum yang lain. Selain itu, semakin ramai wanita bukan Melayu yang memakai baju tradisional orang Melayu iaitu baju kurung ke majlis-majlis mahupun di universiti. Oleh itu, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan berbilang kaum ini dapat menimbulkan rasa hormat antara satu sama lain serta mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam negara.

• Peranan ibu bapa serta barisan pendidik

Peranan ibu bapa serta barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Hal ini demikian, mereka perlu mendidik anak-anak agar mengamalkan semangat kejiranan sejak kecil lagi kerana jika hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Contohnya, semasa meraikan perayaan kaum dan agama, ibu bapa sewajarnya mengamalkan sikap ziarah-menziarahi dan bertukar makanan dalam kalangan penduduk setempat. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni terhadap murid-murid. Melalui pengajaran subjek Sivik Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, barisan pendidik dapat memberikan nasihat dan bimbingan yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif terhadap para murid. Dengan ini, perpaduan kaum dapat dipupuk dan dilestarikan.

• Melaksanakan sekolah wawasan

Sehubungan dengan itu, sistem pendidikan merupakan satu jalan komunikasi yang mudah untuk merealisasikan hasrat ini. Dengan pengenalan satu sistem pendidikan yang sama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ianya telah mewujudkan kemakmuran kaum secara tidak langsung. Selain itu, terdapat sekolah wawasan yang menempatkan tiga jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Melalui pelaksanaan sekolah wawasan ini, ianya juga dapat mempercepatkan proses perpaduan kaum. Sebagai contoh, penggunaan serta penerapan bahasa rasmi negara kita iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di sekolah-sekolah kebangsaan turut membolehkan pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain.

• Melalui media massa

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan utama dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan informasi positif dan menyebarkan mesej tentang memupuk kemakmuran. Stesen penyiaran tempatan perlu memainkan peranan penting supaya dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan tersebut diselitkan dalam program. Dengan ini, kemakmuran kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa.

• Aktiviti bermasyarakat

Kemakmuran kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti bermasyarakat. Hal ini demikian, saling membantu antara satu sama lain dan dapat memupuk semangat kerjasama dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Antara aktiviti yang dapat dilaksanakan ialah aktiviti gotong-royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya kemakmuran secara maksimum dapat dilahirkan. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Secara ringkasnya, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat kemakmuran yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama.

• Penganjuran sukan

Penganjuran sukan merupakan alat kemakmuran yang berkesan untuk mencapai integrasi dan ketahanan nasional. Perpaduan yang dipupuk bukan sahaja dalam kalangan atlet tetapi juga mendorong rakyat berbilang kaum, etnik dan budaya menggemblengkan semangat berbakti dan berkorban untuk negara. Sebagai contoh, pihak swasta telah bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk menjayakan pelbagai jenis sukan di negara kita secara sukarela termasuk Sukan Sukma, Sukan Sea dan Sukan Komanwel. Hal ini juga dapat mengukuhkan nilai perpaduan seperti toleransi, kerjasama meletakkan kepentingan kebangsaan melebihi kepentingan peribadi dan sebagainya. Dengan memupuk kemakmuran dalam kalangan masyarakat, mereka akan memberikan sokongan yang padu kepada atlet negara untuk memenangi sesuatu pertandingan. Jelasnya, melalui sukan, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum bertanding secara sihat.

Masalah sekiranya tidak memupuk kemakmuran dalam masyarakat majmuk


• Keharmonian negara akan terjejas


Masalah yang akan timbul sekiranya tidak memupuk kemakmuran ialah keharmonian negara akan terjejas iaitu tiada kesepaduan di kalangan rakyat. Keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara agar kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini dapat dipertahankan. Ia juga dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara daripada ancaman luar dan dalam negara. Contohnya, rakyat tidak mempunyai matlamat yang serupa dan tidak dikongsikan bersama. Ini menyebabkan keamanan dan keselamatan negara terjejas. Oleh itu, perpaduan perlu untuk memupuk kemakmuran agar keharmonian negara dapat dijaga. Kestabilan politik juga dapat dikekalkan jika semua anggota masyarakat memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang tinggi.

• Keadaan politik


Seterusnya ialah keadaan politik di negara kita sendiri yang mana isu-isu mengenai bahasa, budaya, agama, kerakyatan dan ekonomi ini sering kali dibahaskan atau dijadikan isu oleh ahli politik atas tujuan tertentu. Perkara ini akan menyebabkan rakyat berasa tidak selesa dan menimbulkan perasaan kurang senang hati walaupun pada mulanya ianya tiada apa-apa yang perlu dikhuatirkan jika isu tersebut tidak dibangkitkan. Hal-hal sebegini yang digunakan oleh orang politik mengenai isu yang sensitif ini, jelas akan memberikan impak yang negatif terhadap masyarakat. Setiap kaum pastinya juga akan mempertahankan hak-hak mereka bagi mendapatkan kepentingan yang sama rata dalam kalangan penduduk di negara ini. Perkara sebegini tidak sepatutnya dijadikan bahan kerana ianya bukan isu kecil. Kemakmuran dan perpaduan akan tergugat akibat salah percaturan dari hal ini.

• Sistem pendidikan yang berasingan


Permasalahan lain lagi ialah sistem pendidikan yang berasingan. Seperti yang kita tahu rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mana setiap kaum itu mempunyai bahasa ibunda dan juga sistem persekolahan yang tersendiri. Ini jelas memisahkan pelejar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Perkara sebegini menyebabkan interaksi antara pelajar yang berbeza kaum dengan kaum yang lain menjadi terhad. Alangkah bagusnya jika sistem pendidikan di Malaysia menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal untuk pengajaran seperti yang dilakukan oleh Thailand dan Indonesia. Lagi pula Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia.


Kesimpulan


    Kesimpulannya, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam menggalas kewajipan ini. Selain itu, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada hubungan baik  yang terjalin antara masyarakat. Perumpamaan "bersatu teguh bercerai roboh" begitu sinonim dengan usaha mengekalkan kemakmuran dalam masyarat majmuk demi kesejahteraan hidup. Masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama memang menjadi cabaran kepada kebanyakan negara khususnya dalam mengurus kemajmukan sosial itu.


    Masyarakat majmuk terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama. Negara Islam yang pertama disusun oleh Nabi Muhammad S.A.W. di Madinah terdiri daripada masyarakat majmuk. Tegasnya, komponen utama masyarakat majmuk dalam negara Islam terdiri daripada orang Islam dan orang bukan Islam. Kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri yang pelbagai bukanlah sesuatu yang asing bagi Islam. Malah, Allah S.W.T. telah menciptakan kepelbagaian manusia yang wujud di muka bumi ini seperti firman-Nya yang bermaksud:

 

'Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berbeza puak (etnik) supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu ialah yang paling bertakwa.'

(Surah Al-Hujurat: 13)

 

     Maksud ayat di atas jelas menggambarkan pengiktirafan al-Qur’an terhadap kewujudan masyarakat majmuk. Ini boleh menambahkan kepelbagaian dan rencam hidup manusia supaya lebih menarik dan indah. Dengan kepelbagaian yang ada, manusia boleh kenal-mengenal dan menambahkan pengetahuan masing-masing.

Comments